Berdialog dengan freethinker

Semalaman saya berfikir untuk menulis cerita ini tetapi sering kali terbantut akibat kerisauan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan para pembaca. Mana tidaknya, saya memilih untuk bercerita berkaitan agama dan kepercayaan kali ini. Kenapa saya memilih agama sebagai topik kali ini? Artikel di bawah akan menerangkan persoalan demi persoalan yang saya hadapi ketika berbincang berkaitan agama dan kepercayaan bersama salah seorang rakan sekerja yang freethinker.

Isu berkenaan freethinker yang ditakuti oleh para cendekiawan Islam kini telah menjadi satu stigma dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Rata-rata individu yang cetek tahap intelektualnya telah terang-terang melabel mereka sebagai liberal atau tidak beragama. Hakikatnya, mereka adalah seperti manusia yang lain, yakni berusaha mencari tuhan.

Freethinker atau dalam istilah lain, pemikir bebas (agama), yang mana mereka tidak mengakui ajaran agama mengikut pemikiran dan logik akal mereka. Stereotaip yang direka oleh segelintir pihak yang mengakui sebagai ajaran yang sebenar telah memesongkan pemikiran orang awam yang lain adalah wajar diketepikan.

Saya terkesan dengan penerangan seorang rakan sekerja yang menyifatkan diri beliau sebagai Freethinker. Ini terjadi setelah komen di Facebook berkenaan isu Dr. Zakir Naik dikongsi bersama saya. Beliau menunjukkan beberapa komen sakastik diterima sebagai reaksi komen beliau. Beliau bertanya kepada saya, adakah salah komen begini? Beliau segera menunjukkan komen beliau dalam post isu Dr. Zakir Naik. Terpampang di skrin telefon pintarnya ‘ada apa dalam syurga?’

Saya terpinga-pinga dan dalam kepala saya bersiap sedia untuk menyusun kata-kata sebagai seorang bakal pendakwah. Dalam beberapa ketika saya berfikir tadi, dia sudah menambah idea lain berkait isu tersebut. Katanya, “aku tak faham kenapa orang nak ajak masuk syurga, sedangkan diorang pun tak tahu apa dalam tu. Macam mana diorang boleh percaya yang masuk syurga itu best? Mana tahu dalam neraka tu not bad at all ?”

Terkesima saya mendengar jawapan yang keluar dari mulut beliau. Saya tidaklah begitu arif berkenaan agama, tapi sebagai seorang muslim saya bertanggungjawab membetulkan stigma dan stereotaip yang terdapat dalam pemikiran rakan sekerja saya ini. Saya menerima ajaran asas agama semenjak berumur 3 tahun. Ibu saya mengajar saya untuk mengaji, walaupun saya tidak tahu untuk apa, tapi saya tetap buat juga. Pelajaran berkenaan agama terus disambung di sekolah agama fardu ain sehingga darjah khas di sekolah agama Ayer Hitam Johor. Umumnya ramai yang tahu bahawa Johor mempunyai sistem persekolahan agama yang teratur dan sistematik. Jadi saya dapat membezakan antara ajaran islam berteraskan Al-Quran dan Hadis sahih berbanding yang lain.

“Errr… Aku tak tahulah nak cakap macam mana sebab aku bukan yang pakar berkenaan agama. Tapi apa yang aku tahu, aku kongsi dengan kau lah.,” pembukaan hujah-hujah saya dimulakan dengan ayat selamat. Saya tidak mahu dilabel sebagai individu menunggang agama dan tanpa segan silu merujuk kepada sumber-sumber yang sah. Jelas sekali meminta beliau untuk menerima jawapan saya sebagai salah satu pandangan yang mungkin berbeza dengan pandangan para cendekiawan agama Islam yang lain.

“Haa… Ceritalah. Aku sebenarnya memang tak suka orang yang bawa cerita agama melalui pendekatan Syurga dan Neraka. Pelik betul diorang ni. Cuba kau tengok reply orang ni pula,” rakan sekerja saya menyua telefon pintar beliau yang menayangkan komen yang dimaksudkan. ‘Dalam syurga ada apa yang kau nak,’. Saya hampir tergelak dengan komen itu. Mana tidaknya, jelas mereka yang bergelar ‘pahlawan papan kekunci’ ini tidak faham nilai sakastik dalam komen beliau.

Saya menerangkan, “Bercerita berkenaan Syurga dan Neraka ini adalah salah satu wadah untuk berdakwah sebenarnya. Hakikatnya jikalau saya bercakap berkenaan agama, saya tidak akan menggunakan Syurga dan Neraka sebagai selling point. You konfem tak percaya Syurga dan Neraka macam mana kalau you tak tahu apa you punya kepercayaan kan?” saya menerangkan muqaddimah kepada penerangan sebelumnya.

To me, agama adalah sesuatu yang you guna bila perlu. Contohnya bila you sakit, bila you miskin, bila you nak sesuatu, baru you cari agama. Bila you kerja atau macam politician, agama tak perlu pun untuk menetapkan undang-undang misalnya,” Saya mendengar dengan tekun dan berusaha untuk mencari titik persamaan perbincangan kami. Beliau tidak tahu yang sebenarrya Islam adalah syumul, yakni merangkumi segala aspek kehidupan. Dari segi muammalat, faraid, munakahat, tauhid, jenayah dan banyak isu dalam kehidupan ada dalam Islam.

Rakan sekerja saya pernah suatu ketika bercerita berkenaan sahabat baiknya yang baru kehilangan isteri. Isterinya meninggal akibat kegagalan hati berfungsi dengan baik selepas sesi kimoterapi kanser yang dihadapinya. Mana tidaknya, rakan baiknya itu baru berkahwin 9 bulan sebelumnya, sebulan selepas berkahwin isterinya pula didiagnos kanser. Selepas 6-7 bulan bertarung kanser akhirnya mereka menerima berita baik yang sel kanser itu semakin hilang dan kesihatan isterinya semakin baik. Namun kegembiraan pasangan itu tidak berkekalan kerana seminggu selepas itu isterinya didiagnos mengalami kegagalan hati untuk berfungsi, komplikasi sesi kimoterapi katanya. Isterinya meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa di hospital. Antara nasihat beliau kepada rakan baiknya adalah pulang kepada agama supaya tidak berlaku kes yang lebih buruk kepadanya, bunuh diri misalnya.

Saya faham situasi rakan sekerja saya ini. Beliau melihat agama sebagai satu simbol harapan kepada mana-mana individu yang memerlukan sokongan moral dan spiritual. Tetapi pada saya, ianya lebih dari itu. “You pernah ke tengok video Dr Zakir Naik tu?” Saya bertanya untuk meminta kepastian. “Tak pernah,” Jawapannya singkat. “Patutlah. Sebab dalam ceramah Dr Zakir naik tu tak pernah pula aku dengar dia ajak masuk Islam menggunakan Syurga dan Neraka,”

“Ye lah. Itu mungkin pada dia. Aku rasa agama ini banyak dimanipulasi oleh manusia yang mengaku diri diorang agamawan. Contohnyalah, aku tak rasa you pergi gereja setiap hari Ahad tu dan nyanyi-nyanyi boleh buat you masuk Syurga. Macam you orang Islam, sembahyang pagi-pagi, menyanyi kat masjid tu boleh buat you masuk Syurga? Aku tengok ritual cucuk-cucuk badan masa Thaipusam tu boleh ke buat masuk Syurga? You bakar duit kertas, iPad kertas, rumah kertas semua tu untuk you senang lepas after life? Aku tak nampak logik dia kat situ. You tak makan lembu, jadi vegetarian, tak kahwin jadi sami semua itu aku tak nampak macam mana you boleh masuk Syurga dengan macam tu,” jelasnya panjang lebar.

Saya dapat tahu dari penjelasan beliau yang beliau diselubungi stereotaip tipikal seorang rakyat Malaysia. Tapi saya tidak menyalahkan dia kerana sehingga sekarang beliau cuba untuk memahami apa itu agama. Beberapa minit berikutnya beliau menerangkan berkenaan agama nenek moyang beliau, Buddha kepada saya. “Aku practice agama aku sebagai tanda hormat pada orang-orang tua. Aku punya aunty, uncle, emak aku. Tu pun masa Chinese New Year. Setahun sekali je pun,” aku hanya mengangguk. Beliau meneruskan bercerita berkenaan malaikat yang dijelmakan dalam bentuk haiwan lembu seterusnya menjawab persoalan mengapa dia menjadi vegetarian. Beliau menerangkan juga konsep 7 dosa yang difahaminya. Terang dan jelas penerangan yang diberi.

“Habis tu, you sebenarnya apa?” Soalan saya mencelah ketika dia menjelaskan ketidaklogikan agama nenek moyang yang diamalkannya. Dia segera menjawab “Aku Freethinker, I might believed in your god,” Saya mengangkat kedua-dua kening sebagai reaksi terkejut mendengar jawapan yang terkeluar dari mulutnya. “Aku bukan tak percaya tuhan. Aku percaya, tapi aku tak rasa agama adalah cara untuk bertuhan. Aku rasa agama ni dah banyak dimanipulasikan,”

Sumber: http://i697.photobucket.com/albums/vv332/AGKahfi/20090810Kosmo01.jpg

“Aku tak rasa dimanipulasikan, cuma aku rasa cara penyampaian dan pemahaman konsep beragama ini berbeza mengikut individu. Mereka tidak salah sebenarnya. Contohnya dalam Islam kami ada 4 mazhab yang berbeza-beza. Mazhab Syafiee, Hambali, Maliki dan Hanafi. Mereka mempunyai pendapat berbeza dan pendapat mereka terang dan jelasnya dari Al-Quran dan hadis sahih. Mereka meraikan pendapat lain yang berteraskan Al-Quran dan hadis sahih. Walaupun begitu, ada juga antara pendapat mereka yang bercanggah dan itu kitorang panggil sebagai Khilaf. Khilaf tidak patut ditentang kerana ianya bukan salah pendapat atau apa. Ianya kami panggil sebagai pendapat yang berbeza sedikit terutama dari segi perlaksaan sesuatu amalan contohnya,” jelas saya panjang lebar.

“Itu la yang aku maksudkan. You tengok ye. Katakanlah ada dua orang anak murid yang belajar dari guru yang sama. Tapi interpretasi antara mereka berbeza dan anak murid tadi menjadi guru lepas habis belajar. Mereka akan ajar anak murid mereka dengan cara mereka sendiri. Aku rasa dalam mengajar tadi akan ada diselewengkan sedikit mengikut logik akal mereka,” Jelas rakan sekerja saya. Saya memahami kerisauan beliau. Saya sendiri tidak ada lagi hujah untuk menidakkan teori yang beliau katakan tadi. Saya mengakui ada segelintir pihak yang menunggang agama untuk kepentingan mereka. Contohnya dalam skim cepat kaya yang banyak dibongkar oleh cendekiawan kewangan seperti Saudara Afyan Mat Rawi dan Saudara Khairul Ezuwan, rata-rata skim terebut menunggang agama dengan ungkapan klise seperti “membantu bangsa seagama”, “memartabatkan ekonomi Islam,” dan lain-lain.

You tahu, kalau tuhan tu sangat berkuasa, kenapa dia tak tulis satu kitab yang semua orang faham. Takda dah orang manipulasi agama. Semua ikut satu petunjuk tu. Kenapa Dia ciptakan orang jahat, mesti takda kejahatan dalam dunia ni. Semua baik-baik. Tak payah kenalkan Neraka sebab Syurga adalah tempat yang konfem akan masuk,” beliau mempersoalkan apa yang terbuku dalam hatinya sejak sekian lama. Pada pendapat saya, agak susah untuk berkomunikasi dengan orang lain mengenai isu yang sangat sensitif ini. Saya rela mendengar pendapat beliau dan membuat analisa sebelum memberikan pendapat.

“Itu aku tak dapat bagi jawapan sekarang, sebab aku bukan pakar agama. Tapi aku kenal ustaz atau cikgu yang boleh jawab soalan you tu. Nanti aku share link, you baca sendiri,” saya berusaha mengalih topik kerana dari tadi topik yang dibincangkan tadi akan bertukar dari perbincangan intelektual kepada perbincangan berbaur emosi. Saya tidak suka emosi dikaitkan dengan pemikiran rasional. Kebanyakkan perbincangan intelektual yang berubah menjadi emosional lebih terjurus kepada pertengkaran dan bermasam muka akibat salah seorang tidak mahu menerima pendapat orang lain. Saya tidak mahu menjejaskan hubungan kami. Saya hormati dia dengan pandangan dia kerana saya ada pandangan saya sendiri.

Hal ini saya ceritakan kepada sahabat baik saya, Ahmad Naim. Pandangan dia berbeza sedikit tetapi logik akalnya dapat diterima. “Bagusnya dia tu adalah dia tidak putus asa mencari kebenaran. Walaupun sudah diterangkan, akan ada keraguan dalam hatinya dan dia sentiasa berusaha untuk mencari sesuatu untuk dijadikan amalan dan pegangan,” Naim memberi komen dalam satu sesi ngeteh sewaktu saya berjumpanya di Parit Raja, Johor baru-baru ini. Naim dan saya membesar di Johor dan kami terdedah dengan ajaran Islam dengan sistem pendidikan agama di Johor semenjak kecil. Walaupun beliau bukannya ustaz, tetapi pengalaman beliau ketika menjadi salah seorang penolong pengurus di salah sebuah ladang di Selangor sebelum ini mematangkan pemikirannya. Kami sering bertukar pendapat mengenai isu-isu kritikal yang jarang dibincangkan secara terbuka.

Naim menambah pendapatnya, “kita tak boleh judge orang terlalu cepat. Sebab Allah cakap dalam Quran, Syurga dan Neraka tu Dia punya dan Dia masukkan siapa yang Dikehendakinya. Allah value nilai seseorang itu berdasarkan effort dia. Ujian datang pada setiap orang itu berbeza-beza dan mungkin ujian pada kawan kau tu begini. Jadi sekiranya dia dah berusaha sehingga akhir hayatnya mencari tuhan dan kebenaran walau tanpa memeluk Islam sebagai agamanya, tidak mustahil Allah tempatkan dia dalam Syurga. Asalkan dia tidak putus asa mencari tuhan,”

Saya dan rakan sekerja saya tidak dapat meneruskan sesi perbincangan kami kerana waktu itu kekangan masa. Jika diberi peluang, saya masih mahu bertanyakan pendapat beliau berkenaan ekstrimism dan keganasan dalam agama. Sebelum kami mengakhiri perbualan kami, sempat juga saya menyelit berkenaan isu itu. “Ekstrimis memang ada dalam setiap agama, tu aku tahu. Tengok ISIS, di Myanmar dan kisah Perang Salib. Sama semua. Itu bukan agama. Itu individu,” Terangnya.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana diberi nikmat akal untuk berfikir ke tahap ini. Akal jugalah yang membezakan saya dengan haiwan, malaikat, dan lain-lain makhluk. Agak sukar untuk mentarbiah seseorang individu sekiranya ilmunya masih cetek. Saya tidak memberi penyelesaian masalah kepada rakan sekerja saya kerana saya bukanlah arif dalam agama. Saya hanya berkongsi pendapat dan pandangan saya.

Kesimpulan

Stigma dan pemikiran stereotaip berkaitan agama haruslah ditangani dengan cara yang berhikmah bukan dengan emosi semata-mata. Hakikatnya ada segelintir masyarakat masih terbelenggu dengan masalah, ‘pendapat aku sahaja betul’. Contoh soalan yang popular berkaitan dengan pendapat adalah ‘adakah gelas ini setengah penuh atau separuh kosong?”

Kedua-dua pendapat betul, tetapi mindset dan niat berbeza. Golongan Freethinker adalah golongan yang keliru. Mereka harus dibimbing bukannya dikecam kerana mempunyai aliran pemikiran yang berbeza dengan kita. Ibu saya pernah berpesan selepas saya menceritakan apa yang berlaku, “arwah adik kau ada aura untuk membawa golongan ini ke satu tahap yang lain. Tak semua orang boleh mempengaruhi orang untuk menukar persepsi dan pegangan,”

Individu seperti Dr Zakir Naik, Imam Syafiee, Ustaz Azhar Idrus, Imam Muda Ashraf dan ramai cendekiawan dan ulama Islam yang lain mempunyai bakat untuk mengubah persepsi dan pegangan. Mereka tidak putus belajar dan terus belajar untuk melengkapkan diri dengan ilmu sekiranya berhujah dengan golongan Freethinker atau agamawan dari agama yang lain.

Pada saya, sekiranya untuk mengubah persepsi individu terhadap agama mestilah kenal dahulu peganggan dia. Tahu target market, kemudian baru kita reka ayat jualan untuk menarik mereka memeluk agama Islam. Jangan cepat untuk menjadi hakim terhadap sesuatu perkara kerana seadil-adilnya manusia, adil lagi Allah. Kita tidak sempurna. Lihat agama pada kitabnya, bukan pada individu. Kalau Islam, lihat pada Al-Quran dan hadis sahih, bukan pada individu seperti saya.